Thursday, July 3, 2008

-terdetik saya untuk membaca artikel ini

Terima Kasih Mufti

Kali ini saya bersetuju benar dengan Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin yang menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 'bekas pembantunya', Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya 'mubahalah' (bersumpah).

Dr Asri menjelaskan: "Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang berbohong. Dia kata dia, ada kata orang ni. Ada kata konspirasi, niat jahat sampai rakyat berkelahi dan bertumbuk. Macam-macam cerita kita dengar. Saya tak nak bela sesiapa. Yang untungnya, surat khabar laku. Asalnya memang perkara peribadi macam ini tidak boleh dedah."

"Ada orang kata kena kemukakan empat orang saksi. Saya tidak setuju sebab budak (Saiful) ini mendakwa diri dia sendiri (seorang diri), bukan orang lain. Pihak yang mendakwa (Saiful) hendaklah mendatangkan bai'nah (bukti). Sila bersumpah pada orang yang dituduh yang dia tidak melakukannya. Kedua-dua pihak (Anwar dan Saiful) hendaklah bersumpah. Kalau tidak puas hati lagi, bermubahalah seperti ini... 'Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya laknat Allah kepada saya' dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi... saya tidak melakukannya."

Alahai Dr, kalaulah semua orang Islam terima undang-undang Islam. Soalnya yang terlibat pun tak berapa percaya dengan undang-undang Islam.

Selepas bersumpah, kata Dr Asri lagi, kedua-dua pihak dan semua orang kena senyap dan tidak perlu memberikan sebarang ulasan lanjut. "Ini benda peribadi tapi sudah jadi urusan rakyat. Serahkan pada Allah kerana ini urusan Allah."

Mufti Perlis yang memiliki PhD dan pernah menuntut di Kolej Islam Kelang tersebut turut merujuk pertama kali mubahalah dilakukan dalam satu peristiwa pada zaman Nabi apabila puak Kristian di Najran mempertikaikan kebenaran Nabi.

"Nabi telah membawa Hussin, Hassan dan Fatimah dan mencabar puak Kristian di Najran untuk bermubahalah iaitu laknat-melaknati atas nama Tuhan tapi puak Kristian Najran tidak berani..."

Saya bersetuju benar hal ini dilakukan dari kita orang Islam berpecah belah. Dan saya ingin mengambil kesempatan untuk menjelaskan hal mubahalah ini.

Hal mubahalah ini timbul dalam firman Allah:

"Maka sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya (kisah Nabi Isa) sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru (memanggil) anak-anak kami serta anak-anak kamu dan wanita-wanita kami serta wanita-wanita kamu dan diri-diri kami serta diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah (memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh) dan kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang berdusta".
(Surah Ali 'Imran : ayat 61)

Dalam peristiwa tersebut, Nabi telah membawa bersama baginda Saidina Ali, Sayyidah az-Zahra, Saidina Hasan, dan Saidina Husin. Oleh kerana Dr Asri tidak menyebutkan, saya ingin, dengan sukacita sekali menyatakan banyaknya hikmah besar apabila baginda Rasul mendatangkan keluarganya dalam peristiwa "Mubahalah" tersebut:

Satu sahajalah, nanti jadi panjang tak dapat hadam sempurna, hikmah besar tersebut ialah kedudukan ahlul bait baginda amat utama. Sehingga baginda sanggup menyertakan orang-orang suci yang kudus ini dalam peristiwa penting tersebut.

Tidak syak lagi kedudukan ahlul bait amat penting. Az-Zamakhsyari salah seorang ulama tafsir besar di sisi mazhab Ahlus Sunnah ketika mentafsirkan ayat al-Mubahalah mengatakan: "Peristiwa Mubahalah merupakan dalil yang kuat dan tidak ada yang lebih kuat darinya atas keutamaan Ahlul Bait."

Imam Fakhru ar-Razi pula mengatakan, "Sesungguhnya peristiwa Mubahalah merupakan dalil akan keutamaaan Ahlul Bait di atas seluruh sahabat Nabi (saw)."

Semua orang ingin kembali kepada Islam. Tetapi Islam yang bagaimana? Kata-kata Dr Asri ini bertepatan dengan seruan saya untuk memegang dua ayat Quran dan dua hadis di bawah ini sebagai formula mencari kebenaran dan menyelesaikan perbalahan. Saya tidak berbohong dalam hal ini.

Dua ayat al Quran ini sangat berhubungan (perhatikan pada tulisan yang dihitamkan) -

Teliti al-Waqi'ah: 77-79

"Sesungguhnya ia adalah al-Quran yang mulia. Tersimpan kemas pada kitab yang terpelihara (luh mahfuz). Tidak menyentuhnya (memahaminya) melainkan orang-orang yang disucikan."

Istilah muthoharrun dalam ayat di atas adalah isim maf'ul (orang yang kena suci) jadi 'bukan orang yang bersuci'. Siapa orang yang disucikan kalau begitu? Kaitkan dengan ayat di bawah ini.

Dari al-Ahzab: 33

"Sesungguhnya Allah bermaksud semata-mata mahu menghilangkan dosa dari kalian semua wahai ahlul bait dan mensucikan kalian sesuci-sucinya."

dan hadis -

Daripada Abu Said al-Khudri, sabda Nabi saw:

Sesungguhnya akan hampir aku dijemput pulang dan aku pasti menyahutnya. Sesungguhnya aku meninggalkan buat kamu dua perkara yang amat berat (berharga): Pertama adalah kitab Allah tali yang terentang dari langit ke bumi. (Dan yang kedua) ialah keluargaku iaitu ahlul baitku. Sesungguhnya yang maha mengetahui, mengkhabarkan kepadaku bahawa keduanya tidakkan terpisah hingga ia kembali kepadaku di telaga al-Haudh. Lihatlah bagaimana kamu memperlakukan terhadap keduanya.

Juga hadis -

Tirmidzi meriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah telah berkata: Setelah turun ayat Tathir (ayat 33 surah al Ahzab) kepada Nabi di rumah Ummu Salamah, baginda terus memanggil Ali, Fatimah, Hasan dan Husin lalu menyerkup mereka dengan kain seterusnya bersabda: 'Ya Allah mereka ini adalah ahlul baitku dan prang-orang khususku. Hilangkanlah daripada mereka noda dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya. 'Setelah itu Ummu Salamah berkata: 'Dan aku bersama mereka?' Nabi menjawab: 'Kamu berada di dalam kebaikan.'

Mudah hadamkan dua ayat Quran dan dua hadis di atas? Secara akuan bersumpah tidak ada pembohongan, itu sahajalah formula yang ada. Saya menyeru kita semua mengikut seruan Dr Asri, kerana selain dari mubahalah dapat menyelesaikan kepeningan kita saat ini, ia juga akan menjadi asas untuk kita berfikir akan kehebatan dan kedudukan ahlul bait yang harus dirujuk melebihi apa pun kerana Allah ada mengatakan dalam ayat 10 surah al Mulk:

'Dan mereka (penghuni neraka) berkata: Kalaulah dahulu (semasa di dunia) kami mendengar atau menggunakan akal pastilah kami bukan tergolong sebagai penghuni neraka Saiir.'

Maksud saya, kalau kita tidak berfikir oleh hikmah mubahalah zaman Rasulullah tadi kita akan terkelompok dalam golongan di atas. Naudzubillah.

Saya kira mubahalah ini juga elok untuk kes-kes lain yang sudah beranak pinak dalam kalangan atasan. Dia tuduh dia. Dia tuduh dia balik. Kita orang Islam, kembalilah kepada Islam yang sebenar.

Kalau betul-betul nak Islamlah. Hai, kenapalah parti yang memperjuangkan Islam itu tidak suarakan hal mubahalah ini. Tak baik menyembunyikan kebenaran. Buek pengabih bogheh yo.

Terima kasih Dr Asri kerana menyuarakan kebenaran. Saya teringat zaman manis Badar di Kolej Islam Kelang, terutama saat Dr Asri menjadi Setiausaha Agung Badan Dakwah dan Rohani.

0 comments: